Selasa, 5 Mac 2013

PUNCA MASALAH DISIPLIN MURID (GURU)




Jika selama ini masyarakat didedahkan bahawa punca masalah disiplin murid adalah daripada aktiviti tidak sihat murid di luar sekolah tetapi baru-baru ini kajian mendapati bahawa sekolah merupakan salah satu faktor penyebab masalah disiplin tersebut. Kajian itu dilakukan oleh sekumpulan murid Sarjana Kepengetuaan Kohort Lima Institut Pengajian Kepengetuaan Universiti Malaya (UM), yang kebanyakannya merupakan pengetua sekolah di negara ini. Menurut kajian tersebut yang dibentangkan oleh Rusli Wahab dan Mohd. Hassany Hashim, guru dan cara pengajaran dan pembelajaran (P&P) merupakan salah satu penyebab masalah disiplin dalam kalangan murid.

            Pengajaran guru yang membosankan seperti penerangan satu hala yang terlalu lama dan formal, pengajaran yang sukar difahami oleh murid dan ini membuatkan murid rasa memberontak kerana bosan dengan pengajaran yang tidak berkesan. Sebagai contohnya, kaedah pengajaran yang guru lakukan ialah dengan membaca buku teks, menulis di papan hitam dan berkomunikasi satu hala sahaja. Hal ini menyebabkan murid merasa bosan terhadap pengajaran dan pembelajaran dan kemudiannya ponteng kelas atau sekolah akan berlaku kerana murid ingin mencari keseronokkan.

           Selain itu, jika guru terlalu garang hingga murid terlalu takut kepadanya, maka pertentangan terus tidak dibuat tetapi perasaan geram akan disalurkan kepada orang ketiga yang tidak bersalah (Gragey, 1970). Sebaliknya pula guru yang permisif akan menghadapi masalah disiplin di dalam dan di luar kelas, kerana perlakuan-perlakuan yang tidak dapat diterima akan menyebabkan pengajaran tidak dapat dijalankan.

          Guru juga perlu cakna kepada keaadan semasa dalam bilik darjah. Tidak diakui bahawa dewasa ini guru-guru telah dibebani dengan tugasan-tugasan yang tidak ada kaitan dengan pendidikan seperti memasukkan data markah peperiksaan di dalam web. Masa guru banyak dihabiskan dengan urusan-urusan kerani atau pentadbiran. Sepatutnya, guru-guru ini digunakan khidmat mereka untuk selalu berinteraksi dengan murid-murid supaya hubungan mesra di antara guru dan murid dapat berlaku. Apabila guru kurang mesra dengan murid, mereka akan mudah untuk tidak menghormati guru tersebut sama ada tidak memberi salam apabila berjumpa dan tidak menumpukan perhatian ketika guru itu mengajar. 

1 ulasan:

  1. terima kasih atas perkongsian...dapat refleksi diri sebagai seorang guru yang agak baru...dalam dunia pendidikan ini:)

    BalasPadam