Khamis, 14 Mac 2013

Punca Masalah Disiplin ( LATAR BELAKANG MURID )


Cara asuhan yang diterima

Sesetengah ibu bapa bersikap sangat tegas terhadap anak-anak mereka. Ada pula yang jarang menunjukkan kasih sayang anak-anak mereka. Bagi ibu bapa yang terlalu tegas ini akan membuat anak-anak mereka berasa tertekan dengan cara didikan yang diberi yang terlalu ketat untuk cemerlang akademik sahaja tanpa ada masa untuk bermain seperti rakan sebaya mereka yang lain. Maria Montesorri menyatakan bermain adalah tugas kanak-kanak. Menurut Meece (2002) dan (Woolfolk, A., 2004), bermain merupakan sebahagaian daripada perkembangan fizikal dan sosial kanak-kanak. Manakala, bagi ibu bapa yang terlalu jarang untuk meluangkan masa bersama anak-anak mereka pula akan  menimbulkan jurang hubungan antara satu sama lain. Anak-anak akan berasa terabai dan kurang kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Oleh yang demikian, cara asuhan yang berbeza ini mempengaruhi sahsiah murid-murid.


Taraf ekonomi keluarga

Sesetengah murid mempunyai latar belakang keluarga yang taraf ekonominya rendah dan taraf ekonomi tinggi. Bagi murid yang keluarganya taraf ekonomi rendah, ibu bapa mereka terpaksa mencari rezeki siang dan malam bagi menampung kehidupan dan perbelanjaan sekolah anak-anak mereka. Kesannya, mereka akan bergantung kepada rakan-rakan untuk mendapatkan sokongan emosi, sosial dan moral yang tidak diperolehnya daripada ibu bapa. Masalah yang timbul adalah mereka mempelajari nilai-nilai yang tidak baik daripada rakan-rakan mereka. Manakala, murid-murid daripada keluarga yang taraf ekonomi tinggi pula berasa lebih yakin ke sekolah sehingga mereka menyalahgunakan nikmat yang ada sehingga tidak tahu menghargainya kerana mereka selalu mendapat apa yang mereka kehendaki.


Konflik keluarga

Institusi keluarga juga memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah murid-murid. Perceraian, pergolakan hubungan ibu bapa, kehadiran adik baharu di rumah boleh mengganggu emosi kanak-kanak jika ianya tidak diurus dengan baik.  Perasaan kerisauan, perasaan marah dan kecewa yang terpendam akan dibawa ke sekolah. Masalah emosi ini dizahirkan melalui tingkah laku murid, misalnya perasaan marah terhadap ibu disalurkan kepada guru wanita di dalam bilik darjah.


Tempat tinggal

Kanak-kanak daripada keluarga bertaraf sosioekonomi rendah mungkin tinggal di kawasan yang sesak, rumah yang sempit dan perlu dikongsi bersama-sama adik-beradik yang ramai, serta makanan dan peluang penjagaan kesihatan yang terhad. Mereka hadir ke sekolah dengan pakaian kurang kemas, bertutur menggunakan bahasa dialek dan kurang pengalaman dengan buku-buku dan bahan pembelajaran. Kesannya, sesetengah guru tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap murid-murid seperti ini. Maka, mereka akan rasa terasing, terabai, tidak pandai dan sukar untuk bergaul dengan rakan-rakan yang lain.


Media massa

Kanak-kanak pada hari ini terdedah kepada sumber maklumat seperti surat khabar, majalah, televisyen, radio dan internet. Mereka boleh mendapat maklumat dengan senang sekali. Penggunaan telefon bimbit dan seterusnya fungsi-fungsinya seperti short message service (SMS) juga semakin berleluasa dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia. Kesannya, pengetahuan dan pandangan, tingkah laku, cara pergaulan, cara bertutur, aspek fizikal seperti fesyen dan stail mempengaruhi murid-murid. 

0 ulasan:

Catat Ulasan